Sunday, February 7, 2010

Kenyataan Nasir Safar Tanda Gagal 1Malaysia - Dr Tan Yee Kiew

Kenyataan rasis Datuk Nasir Safar, pegawai khas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan tanda kegagalan konsep dan pelaksanaan projek “1Malaysia” yang telah menelan berjuta-juta ringgit duit rakyat.
Haruslah jelas bahawa orang kanan Perdana Menteri itu telah mengeluarkan kenyataan tersebut dalam satu seminar “1Malaysia” di mana ianya merupakan satu program rasmi yang bertujuan untuk menerangkan konsep “1Malaysia”.
Adalah munasabah pihak penganjur menjemput Nasir untuk berucap dalam seminar tersebut atas nama pegawai khas kepada Perdana Menteri yang cukup layak untuk menjelaskan ide baru pentadbiran Najib itu.
Maka kenyataan rasis Nasir itu menunjukkan kegagalan pucuk pimpinan Barisan Nasional, khususnya Najib sendiri dalam menterjemahkan konsep “1Malaysia” ke dalam realiti masyarakat majmuk Malaysia.
Hari ini Najib terpaksa menerima hakikat bahawa orang kanannya sendiri pun tidak memahami ataupun bersetuju dengan konsep yang diwar-warkan olehnya sendiri, apatah lagi seluruh jentera pelaksana dan barisan pimpinan BN.
Hakikatnya konsep “1Malaysia” di dalam papan iklan, siaran radio dan televisyen, program indoktrinasi seperti seminar dan forum, dan papan tanda klinik kesihatan lebih bersifat kepentingan hiasan tingkap yang menghabiskan wang rakyat, dan bukannya kepentingan rakyat secara keseluruhan.
Kini Nasir telah melepaskan jawatannya bagi menjaga imej Perdana Menteri. Namun Parti Keadilan Rakyat yakin rakyat akan menyokong perubahan dasar yang sebenar sepertimana dilakukan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat, dan bukannya perubahan slogan yang kosong.

Dr Tan Yee Kiew
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat

Monday, February 1, 2010

DS ANWAR - BN GUNA TAKTIK BARU UMPAN YB PAKATAN RAKYAT


Barisan Nasional menggunakan taktik baru untuk memancing ahli parlimen pakatan rakyat meninggalkan parti masing-masing.
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, datuk seri Anwar Ibrahim berkata, wakil Barisan Nasional kini menggalakkan ahli-ahli PKR yang dipercayai tidak puas hati dengan beberapa isu dalam parti supaya menyertai parti ketiga.
Beliau menamakan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat dr jamaluddin jarjis sebagai orang tengah atau broker memancing bekas timbalan ketua Keadilan Pahang, Azan Ismail supaya menyertai Parti Cinta Malaysia atau PCM.
Pada masa yang sama wakil PCM juga cuba memujuk ahli parlimen Keadilan Balik Pulau Yusmadi Yusuf supaya menyertai parti baru itu.
Azan Ismail yang juga ahli parlimen PKR bagi kerusi Indera Mahkota mengumumkan peletakan jawatan sebagai timbalan ketua PKR Pahang kerana berseliseh pendapat dengan kepemimpinan negeri.
Anwar percaya barisan nasional berusaha memujuk wakil-wakil rakyat PKR dan mungkin parti kerabat Pakatan Rakyat bagi meninggalkan parti masing-masing sebelum sambutan Tahun Baru Cina dua minggu lagi.