Sunday, May 30, 2010

Saya tak kecewa, kritikan perwakilan satu cabaran: Khalid

KOTA BHARU, 29 Mei — Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak kecewa, sebaliknya melihat kritikan perbahasan perwakilan Kongres Nasional Keenam hari ini sebagai cabaran untuk memantapkan jentera menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Beliau juga tidak menganggap kritikan dan pandangan sebagai serangan ke atas dirinya, sebaliknya ia dilihat sebagai usaha untuk mengemaskan parti dan pentadbiran kerajaan negeri.
“Tidak, tidak saya tidak kecewa. Sebaliknya, saya gembira kerana ada pandangan yang diberikan merupakan maklum balas untuk menguatkan PKR khususnya di Selangor,” kata Abdul Khalid ketika ditemui The Malaysian Insider di sini hari ini.
Abdul Khalid berkata, pandangan-pandangan yang diperlukan merupakan ‘satu bentuk peringatan’ untuk meningkatkan proses komunikasi memastikan kelancaran pelaksanaan program.
Abdul Khalid juga mengakui sebagai pemimpin wajar mendengar input-input yang diberikan oleh perwakilan.
Sebahagian besar perwakilan melahirkan kepentingan Selangor dalam perjuangan untuk menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun mereka juga mengakui bahawa Selangor juga boleh jatuh jika PKR tidak menangani isu-isu yang dihadapi negeri itu. – MALAYSIAN INSIDER

Friday, May 28, 2010

SHAMSUL ISKANDAR - SIASAT SEGERA JHO LOW, JUTAWAN MUDA

KOTA BHARU 28 Mei - Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat latar belakang seorang rakyat Malaysia bernama Jho Low lulusan Wharton School of Business dan bagaimana beliau mampu memperolehi kekayaan sebegitu banyak dalam usia 28 tahun.
Shamsul mendakwa Jho juga terlibat sebagai penasihat kepada Terengganu Investment Authority, badan yang ditubuhkan untuk mengurus pelaburan hasil daripada royalti minyak negeri itu.
Malah lebih mengejutkan Shamsul mendakwa Jho merupakan individu misteri yang terlibat dalam usaha merampas tanah Pengkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia Sungai Besi dengan bersekongkol dengan anak dan isteri Perdana Menteri.
"Kita desak SPRM menyiasat siapa Jho Low ini. Bagaimana dia memdapat kekayaan sehingga The New York Times melaporkan bagaimana anak muda ini berbelanja beratus ribu dolar berseronok di kelab-kelab eksklusif di bandaraya itu dalam beberapa bulan dan terus berbelanja besar. Semua maklumat berkenaan individu ini adalah daripada media luar negara dan kemudiannya dilaporkan oleh media tempatan. Ini menimbulkan keraguan siapa gerangan Jho Low ini dan bagaimana dia boleh menjadi begitu kaya dalam usua muda dan mempunyai kaitan dengan tokoh politik.
"Saya juga mendapat maklumat bahawa beliau juga memainkan peranan untuk merampas tanah kem TUDM di Sungai Besi bersama anak Perdana Menteri dan 'Big Mama' (Datin Seri Rosmah Mansor)," kata beliau dalam ucapan dasar pada perasmian Kongres Nasional Tahunan AMK 2009 di sini pagi tadi.
Dalam ucapan beliau yang bertema "Mewarisi Nilai Mempertegas Perjuangan" Shamsul berkata kalau dahulu angkara KKN - Korupsi, Kronisme dan Nepotisme - di terajui golongan veteran seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi kini KKN dipelopori oleh golongan muda.
"AMK juga mendesak Dr Tun Mahathir yang dilaporkan oleh Barry Wain dalam bukunya telah melenyapkan lebih RM100 bilion aset dan harta rakyat selama beliau menjadi Perdana Menteri.
"Kita juga mahu SPRM siasat 'Prebet' Khairy Jamaluddin yang mana rakan baik beliau mencadangkan kepada kerajaan menggunakan Apco, firma yang semua tahu berselirat dengan tokoh Zionis yang zalim," kta beliau dengan penuh semangat.
Beliau bertegas negara bakal bankrup bukan disebabkan rakyat mahukan subsidi tetapi oleh golongan pemimpin Umno-Barisan Nasional yang korup.
"Kita mahu tiga 'puaka' ini disiasat oleh SPRM," tegas Shamsul lagi.

Thursday, May 27, 2010

NAJIB RASUAH SAMY VELLU . . .

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menuntut satu siasatan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyelamatkan khazanah kekayaan negara daripada difaraidkan untuk kepentingan Umno BN.
Ini ekoran pendedahan S Vell Paari, anak Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu bahawa seorang Pegawai Khas Perdana Menteri telah datang membawa tawaran daripada Perdana Menteri menawarkan gelaran Tun dan jawatan Duta bagi tujuan kompromi isu calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor, baru-baru ini.
“Pendedahan ini suatu yang serius yang menunjuk ada unsur dan amalan rasuah dalam pemilihan calon BN dari MIC dalam PRK Hulu Selangor,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tuesday, May 25, 2010

KONGRES PKR 28 - 30 MEI MINGGU INI DI KOTA BHARU..


KOTA BHARU, 25 Mei: Kira-kira 2,500 perwakilan dan pemerhati Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan berkampung di sini selama tiga hari bermula 28 Mei bagi menghadiri Kongres Nasional yang bertemakan Harapan Baru Selamatkan Malaysia.
 
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PKR negeri, Abdul Aziz Kadir (gambar) berkata, perwakilan yang terbabit dalam kongres berkenaan seramai 1,500 orang dan selebihnya di kalangan pemerhati yang datang dari seluruh negara.

Katanya, pada 28 Mei diadakan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK), manakala kongres penuh pada 29 dan 30 Mei bertempat di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC) Kota Bharu.

“Perasmian kongres Wanita dan AMK akan dilakukan Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, manakala majlis perasmian kongres penuh pada Sabtu disempurnakan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail,” katanya di sini.

Kongres Wanita diadakan di KTC, manakala kongres AMK di Perdana Resort.

Abdul Aziz juga anggota parlimen Ketereh berkata, Kongres Nasional yang julung kali diadakan di Kota Bharu dijangka membincangkan usaha-usaha memantapkan parti di samping persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Menurutnya, antara tetamu yang dijemput khas menghadiri perasmian kongres termasuk duta-duta asing di Malaysia dan pemimpin utama Pakatan Rakyat.

”Kongres yang diadakan di Kelantan akan memberi manfaat besar kepada parti khususnya dalam menyuntik semangat baru kepada anggota parti peringkat akar umbi.

”Ini berikutan tindakan diambil beberapa pemimpin yang bertindak keluar parti sebelum ini. Peristiwa yang berlaku itu sekali-kali tidak pernah melemahkan semangat kami,” ujarnya.

Beliau juga mendakwa kemungkinan akan berlaku sabotaj di kalangan bekas anggota PKR bagi menggagalkan kongres berdasar beberapa maklumat yang diterima.

Namun katanya, pihak pengurusan dan urusetia kongres sudah mengambil tindakan awal bagi mengelakkan perancangan jahat mereka tidak menjadi kenyataan. 

Katanya, sempena kongres berkenaan ceramah perdana akan diadakan di tujuh lokasi serentak pada malam 28 Mei membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat.

Antaranya, Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan berceramah di padang Dewan Majlis Daerah Tanah Merah.

Selain itu ceramah juga diadakan di Pasir Puteh, Jeli, Tumpat, Pasir Mas, Ketereh dan Besut.

Monday, May 24, 2010

100k ahli MIC dipecat Samy Vellu...


Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam, berkata beliau bersimpati dengan timbalan ketua Pemuda MIC Malaysia yang baru dipecat, V Mugilan tetapi menafikan mereka bekerjasama menubuhkan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS).

"Tuduhan ahli Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC yang baru dilantik, S Vell Pari yang juga adalah anak Samy Vellu dalam sebuah akhbar berbahasa Tamil hari ini bahawa kami bekerjasama menubuhkan GAS adalah berniat jahat," kata Subramaniam.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun Kuil Sri Subramaniar di Serdang, dekat sini, hari ini, Subramaniam berkata, sejak berkecimpung dalam arena politik beliau tidak pernah "menikam orang dari belakang".

Katanya, beliau sedang berbincang dengan peguamnya kemungkinan menyaman Vell Pari.

Subramaniam yakin usaha Mugilan menubuhkan GAS mendesak Samy Vellu berundur akan mendapat sokongan kuat daripada akar umbi MIC di seluruh negara.

"Bukan saja pimpinan MIC peringkat bawahan yang mahu Samy Vellu berundur malahan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir dua tahun lalu pernah menasihat Presiden MIC itu berundur," katanya.

Subramaniam mendakwa, Samy Vellu telah memecat kira-kira 100,000 ahli parti selama lebih 30 tahun beliau menjadi presiden.

"Lagi cepat pertukaran kuasa berlaku lagi baik untuk MIC," katanya.

- Bernama

Saturday, May 22, 2010

Mengapa membisu bila pemimpin Umno ditanya berkenaan lesen judi....

Mana dia pemimpin Umno terutamanya pemuda yang dulu begitu lantang bersuara isu kalimah Allah. Kenapa mereka sembunyikan diri tidak menentang isu judi bola yang telah ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Friday, May 21, 2010

BINTANG MUGILAN DLM MIC NAMPAK PUDAR ?



Apapun alasan Datuk Seri S Samy Vellu bagi memecat timbalan ketua pemuda parti itu, V Mugilan, pasti ramai tahu apa cerita disebalik tindakan tersebut.
Semuanya bermula bila nama Mugilan tiba-tiba panas dan meletup untuk jadi calon bertanding pada pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor April lalu.
Difahamkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak serta timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah setuju dengan nama Mugilan setelah pengundi-pengundi di Hulu Selangor menolak timbalan presiden MIC Datuk G. Palanivel bertanding semula.
Palanivel didakwa gagal memberikan khidmat terbaik kepada penduduk Hulu Selangor tetapi Samy Vellu tetap berkeras mahu bekas wakil rakyat lima penggal itu bertanding atas alasan Palanivel bakal jadi presiden MIC.
Ketika inilah ujud pertembungan Samy Vellu dengan Mugilan hingga presiden MIC itu mengancam mahu mengambil tindakan terhadap timbalan ketua pemuda tersebut jika dicalonkan menentang Datuk Zaid Ibrahim dari PKR.
Akhirnya jentera BN terpaksa akur dengan pencalonan Ketua Penerangan MIC, P. Kamalanathan untuk bertanding yang diputuskan beberapa jam sebelum majlis pengumuman calon.
Muhyiddin dalam ucapan di majlis itu percaya Mugilan mempunyai peluang yang cerah untuk bertanding pada masa depan dan berharap pemimpin pemuda itu bersabar.
Barangkali perkara inilah yang menyekat halkum Samy Vellu untuk menelan kebenaran bahawa Mugilan bakal jadi bintang dalam MIC satu hari kelak sama seperti Cikgu K.Parthiban yang turut diuar-uarkan akan bertanding di Hulu Selangor
Jika tidak masakan beliau menghubungi bekas wakil rakyat Ijok itu marah-marah sebaik sahaja nama Parthiban dilaporkan turut jadi pilihan bertanding dalam pilihanraya kecil itu.
Bagaimanapun, Samy Vellu hanya mencari masa yang sesuai untuk melepaskan amarahnya kepada Mugilan yang pernah mengkritiknya gara-gara pemilihan calon di Hulu Selangor.
Justeru itu, apabila timbalan ketua pemuda itu mengeluarkan kenyataan yang mahukan bekas menteri kerja raya itu melepaskan jawatan presiden MIC secepat mungkin, Samy Vellu tidak perlu berfikir panjang..
Dengan membelakangkan jawatankuasa disiplin parti, Samy Vellu hanya berunding dengan Palanivel untuk membuat keputusan memecat Mugilan, pada Khamis.
Mustahil bagi Palanivel menentang keputusan Samy Vell yang sudah berjanji menyerahkan jawatan Presiden MIC kepadanya tahun depan.
Bagi mereka yang sudah biasa melihat susur galur politik MIC, parti itu sejak diketuai Samy Vellu 31 tahun lalu penuh dengan insiden pemimpin yang dipecat dan ‘dimatikan’ karier politiknya.
Lihat saja apa yang menimpa bekas timbalan presiden Tan Sri M.G.Pandhitan dan Datuk Dr. S. Subramaniam.
Pemimpin-pemimpin yang cuba bersuara demi kebaikan parti akan ditunjuk ‘jalan keluar’ oleh presiden MIC itu demi kesinambungan dan suvival politiknya.
Walaupun Ketua Pemuda MIC, T.Mohan mendakwa wujud ‘Mastermind’ atau individu tertentu yang menjadi perancang di sebalik tindakan Mugilan mendesak Samy Vellu melepaskan jawatannya sebagai presiden parti berkenaan secepat mungkin, ianya sukar dipercayai.
Mustahil Mugilan mahu mengkhianati kepercayaan Najib dan Muhyiddin kepadanya yang pada awalnya sudah beliau bertanding di Hulu Selangor.
Mustahil juga bagi Mugilan membakar jambatan sedangkan jika ambil kira cakap Muhyiddin, jambatan cukup besar menanti Mugilan yang dilihat amat berpotensi sebagai pemimpin pelapis MIC.
Barangkali ini semua helah Samy Vellu untuk memastikan pemimpin-pemimpin MIC yang berada dalam parti apabila beliau melepaskan jawatan kelak adalah mereka yang boleh mendengar cakapnya.
Sebab itu juga, beliau umum akan menilai prestasi setiap ketua cawangan parti ke arah memantapkan lagi jentera parti di peringkat akar umbi sebelum melepaskan jawatan.
Jelaslah walaupun sudah 11 penggal menerajui MIC, Samy Vellu masih mahu menjadi legasi dalam parti kaum India di negara ini walaupun kebelakangan ini, sokongan terhadap parti itu terus dipertikaikan.
Pemecatan Mugilan hanya melengkapkan segala persepsi orang ramai terhadap kepimpinan Samy Vellu sebelum ini yang tidak boleh dikritik atau ditegur walaupun oleh pemimpin parti demi kebaikan MIC. 

Wednesday, May 5, 2010

Mahkamah bebaskan 10 aktivis bersih

KUALA LUMPUR, 4 Mei: Mahkamah Sesyen Jenayah 3 Jalan Duta di sini membebaskan 10 aktivis Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang ditahan di pekarangan bangunan Parlimen pada 11 Disember 2007 lepas.
Hakim Fathiyah Idris semasa membaca penghakiman kira-kira jam 10.30 pagi tadi menyatakan, pertuduhan yang dikemukakan pihak pendakwaan adalah cacat.
Pihak pendakwa jelasnya, gagal membuktikan wujudnya perhimpunan haram pada hari tersebut yang menyalahi Seksyen 27 (5) (a) Akta Polis 1967.
Manakala pihak polis pula jelasnya lagi, hanya bertindak mengikut jangkaan bahawa akan berlakunya himpunan.
Antara mereka yang ditahan kerana dituduh menyertai perhimpunan itu ialah Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Ketua Pemuda dan Muslimat PAS Pusat, Nasrudin Hassan dan Ustazah Nuridah Salleh, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali dan Presiden PSM, Dr Mohd Nasir Hashim.
Manakala lima lagi adalah Badilah Muda, Hashim Awang, Azira Arifin, Mohd Sabri Syafie dan Ang Hok Gan.
menganggap keputusan mahkamah hari ini adalah paling tepat.
"Pada hari itu kami datang ke parlimen atas tanggungjawab sivik kami untuk menghantar memorandum, kita bukan nak pergi berhimpun," kata Hatta selepas ditemui di luar bilik mahkamah.
Mereka pada jam 11.30 pagi, 11 Disember 2007, telah hadir ke bangunan parlimen bagi menghantar satu memorandum, mendesak kerajaan supaya tidak melanjutkan khidmat Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada waktu itu.
Ekoran itu mereka telah ditangkap dan dituduh mengadakan perhimpunan haram dibawah Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 (Akta 334) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27(8) Akta yang sama.
Bersih dalam satu kenyataan sebelum 11 Disember 2007 itu, membantah usaha kerajaan meminda perlembagaan bagi melanjutkan usia persaraan kakitangan SPR.
Kerajaan dikatakan akan meminda Perlembagaan untuk melanjutkan umur persaraan anggota-anggota SPR dari usia 65 ke 66 bagi membolehkan Rashid terus berkhidmat.
Usul tersebut buat kali pertamanya dibentang secara tergesa-gesa untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 20 November 2007 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz yang dibacakan untuk kali kedua pada 11 Disember tahun berkenaan.
BN ketika itu dikatakan amat memerlukan khidmat Rashid yang licik bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum 2008.