SERENDAH - 65 keluarga penduduk Taman Indah di sini, terpaksa berdepan dengan limpahan najis dan bau busuk dari rumah sendiri disebabkan masalah sistem kumbahan di perumahan terbabit.
Penduduk, R Singaraja, 41, berkata, dia terpaksa menumpang tandas di stesen minyak dan rumah saudara-mara untuk membuang air atau mandi kerana sudah tidak tahan dengan keadaan tandas rumah yang tersumbat dan melimpahkan najis.
Menurutnya, penduduk mendakwa kolam takungan najis yang tidak diselenggarakan pihak berwajib sejak dua bulan lalu menyebabkan mereka terpaksa melalui hari-hari yang menjijikkan.
“Masalah itu sebenarnya sudah dilalui penduduk sejak lebih tiga tahun lalu, namun, atas inisiatif penduduk mengupah kontraktor membersihkan saluran najis, sedikit sebanyak dapat menyelesaikan masalah tersebut.
“Tetapi, sampai bila kami harus menanggung masalah ini, sedangkan ia terletak di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT), pemaju dan syarikat pengendali sistem pembetungan.
Dia berkata, jika dahulu upah untuk melakukan kerja menyedut najis hanya RM500 dan RM600, tetapi sekarang meningkat dan mencecah lebih RM2,000.
Katanya, masalah mereka tidak selesai setakat itu kerana sistem takungan najis di rumah penduduk hanya dapat bertahan dua atau tiga hari selepas dibersihkan.
Menurutnya, sistem saliran bermasalah gagal mengalirkan air menyebabkan bilik air dipenuhi najis dan keadaan itu mengundang kehadiran lalat yang berisiko menyebabkan penyakit.
Penduduk, Boon Koon Poon, 53, berkata, masalah itu akan dapat diatasi sekiranya kolam takungan najis berkenaan diselenggarakan pihak berwajib.