Monday, August 5, 2013

ANAK MUDA WANITA BT] BERAMAL.... BANTU ANAK YATIM RAYA LAGI

Kelab Anak Muda- Wanita Bandar Tasik Puteri (KAMU-BTP) telah menganjurkan satu program Lawatan dan Penyampaian Sumbangan di bawah Program BANTU ANAK YATIM RAYA LAGI kepada anak-anak yatim di Komplek Damai, Asrama Anak Yatim Damai, Kuang pada Sabtu 4 Ogos 2013 bermula jam 11.00 pagi di sini, hari ini. Ianya merupakan salah satu program kebajikan bersama dengan pejabat Yb William Leong, Ahli parlimen Selayang, NGO INSAF, Persatuan Peniaga-Penjaja BTP, Ahli Majlis MPS Puan Salasiah Disa dan sukarelawan-sukatelawan masyarakat di Bandar Tasik Puteri, Rawang.
 
Program ini dihadiri oleh Wakil YB William Leong, Puan Salasiah Disa, serta Pengarah Program Bantu Anak Yatim Raya Lagi, ShaifulAnuar Sulaiman. Sumbangan berupa barang makanan, Baju raya baru dan lama, wang tunai diserahkan kepada Ustaz Suhaimi Dzajuli, Pengasas Kompek Damai ini yang di diami kira-kira 100 orang anak-anak yatim dan asnaf yang berumur antara 1 tahun sehingga 17 tahun.

Mengenai Rumah Anak Yatim Damai Kuang pula, ianya telah ditubuhkan pada 1989. Rumah ini beroperasi di Lot Lorong Teratai, Kuang, Selangor. Penubuhan rumah kebajikan ini dibuat atas dasar tanggungjawab sosial untuk melihat generasi yang lahir dari kalangan anak-anak yatim dan asnaf ini akan lebih terbina sahsiah serta keperibadian dan mempunyai asas pendidikan yang kukuh. Rumah kebajikan ini diusahakan dan diuruskan oleh Tuan Haji Suhaimi Dzajuli dan beberapa orang tenaga sokongan serta sukarelawan.

Objektif utama program ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan di antara anggota-angota KELAB ANAK MUDA WANITA BTP (KAMU) dengan anak-anak yatim di sini di samping dapat memupuk budaya bersedekah di kalangan masyarakat. Ianya juga dapat memberi sedikit sinar keceriaan kepada anak-anak yatim di sini dan mereka akan merasa dihargai dan diingati apabila adanya program lawatan sebegini.
Bagi pihak Rumah Anak Yatim Damai ini pula, sebagai sebuah organisasi yang bergerak secara sukarela, pengurusan Rumah ini mempunyai keterbatasan untuk mengatur kegiatan menjana kewangan. Namun, keperluan untuk menggiatkan aktiviti kepada penghuni harus dilaksanakan secara berterusan. Justeru itu, keprihatinan masyarakat, institusi dan organisasi korporat amatlah diharapkan untuk membantu ke arah mereaslisasikan harapan ini. 

Pengarah Program, Shaiful Anuar Sulaiman berharap program sebegini akan sentiasa mendapat perhatian dan sokongan daripada orang ramai demi untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama Islam selain melakukan amalan-amalan yang sedia menjadi kewajipan bagi umat Islam di Malaysia khasnya dan di dunia amnya.