Friday, November 12, 2010

TERKINI !!! MUSTAFFA KAMIL AYUB BERSAING TERUS REBUT KERUSI TIMBALAN PRESIDEN...

Naib presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub akan terus bertanding dalam pemilihan jawatan timbalan presiden parti itu yang sedang berlangsung.

Sidang media hari ini, diadakan selepas kata-dua 48 jam yang diberikannya kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berakhir semalam yang menuntut supaya menangguhkan pemilihan kerana mendakwa berlaku penyelewengan.
"Tetapi selepas berjumpa dengan Dr Molly Cheah (pengerusi JPP) semalam, beliau memberikan tiga komitmen kepada saya dan saya memutuskan untuk mengambil jalan tengah.
"Saya akan terus bertanding walaupun dalam protes,” katanya sambil menambah bahawa beliau bukan seorang “pengacau”.

Thursday, November 11, 2010

Pemilihan PKR : Kem Chegubard pula desak pemilihan ditangguh

KUALA LUMPUR, 11 Nov — Calon ketua sayap pemuda PKR Badrul Hisham Shaharin akan kekal dalam saingan, sebaliknya pertemuan anjurannya malam tadi meluluskan enam resolusi - antaranya dipercayai mendesak parti menangguhkan dan mengadakan semula pemilihan sebagai langkah keluar daripada isu semasa yang beliau sifatkan sebagai “krisis”.
The Malaysian Insider difahamkan resolusi itu antara lain menggariskan siri tindakan untuk diambil setiap hari sekiranya permintaan menangguhkan pemilihan dan memperbaiki segala kelemahan dalam proses tidak diatasi.
Keputusan itu diambil ketika tinggal satu hari lagi sebelum hari keenam pengudian pemilihan pusat PKR — di bawah sistem pemilihan secara langsung — dilangsungkan.
Pertemuan itu, dinamakan sebagai “Himpunan Anak Muda Selamatkan Keadilan”, diadakan di ibu negara ketika Biro Politik PKR pula mengadakan mesyuarat mingguannya dengan kebanyakan calon yang bertanding dalam pemilihan kali ini difahamkan tidak hadir. Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak hadir kerana berada di luar negara.
The Malaysian Insider difahamkan Biro Politik ada membuat beberapa keputusan dan ia dijangka diumumkan hari ini.
“Kami memutuskan enam resolusi, ia akan disampaikan kepada pucuk kepimpinan parti... presiden dan kesemua anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dalam tempoh 24 jam,” kata Badrul Hisham pada sidang media tengah malam tadi.
Pertemuan hampir tiga jam itu yang turut disertai penganalisis politik Prof A Aziz Bari dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, buat seketika, juga memutuskan untuk melantik Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman sebagai “orang tengah” untuk membawa resolusi tersebut kepada pucuk kepimpinan.
Kedua-dua Aziz dan Nurul Izzah hadir untuk memberikan input sebelum pertemuan tersebut, yang dipercayai dihadiri sekitar 200 ahli AMK dan penyokong Badrul Hisham dan pasukannya.
“Datuk Fauzi sebagai pemimpin yang disegani dalam parti dan tidak terlibat dalam pemilihan, dilantik sebagai perutusan kami untuk membawa resolusi ini ke perhatian kepimpinan parti, dan mencari penyelesaian demi kelangsungan parti dan memenuhi harapan rakyat,” kata Ketua PKR Rembau ini.
Justeru kata beliau, pihaknya telah memutuskan untuk tidak mendedahkan kandungan resolusi malam ini dan menyerahkan kepada Fauzi, bekas Ahli Parlimen dan bekas timbalan menteri kerajaan pusat untuk mengemukakan kepada parti dalam masa 24 jam.
“Kami sudah lantik Datuk Fauzi sebagai perutusan, jadi tidak adil jika kami yang mengumumkan resolusi ini di sini,” kata beliau lagi.
Ketika ditanya sama ada tindakan menarik diri daripada bersaing jawatan ketua AMK juga salah satu perkara yang diputuskan, Badrul Hisham berkata, “soal bertanding atau tarik diri daripada pertandingan tidak timbul.”
Berhubung soal meminta pemilihan ditangguhkan juga disenaraikan sebagai salah satu resolusi, Badrul berkata, “tidak manis untuk saya memberitahu, kami serahkan kepada Datuk Fauzi membuat keputusan (sama ada mengumumkan ataupun sebaliknya).”

Wednesday, November 10, 2010

MENGAPA TIDAK DIBUAT "TRIAL RUN" SATU AHLI SATU UNDI ? - MUSTAFFA KAMIL AYUB (9 NOV 2010 4 PTG)


Semalam telah berlaku satu sejarah di dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat dimana satu memorandum telah di ajukan kepada Presiden Parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) oleh Naib Presiden, Sdr Mustaffa Kamil Ayub sendiri dengan diiringi lebih 50 orang pentokong parti di ibu pejabat parti, banguna Keadilan di Tropicana Square, Petaling Jaya.

Memorandum yang antara lain memberikan gambaran secara menyeluruh semua kepincangan dan keraguan serta penyelewangan yang dihadapi oleh keseluruhan cabang-cabang yang telah mengadakan mesyuarat tahunan cabang dan pemilihan pusat diharap dapat membantu Presiden dan JPP untuk menangguhkan pemilihan yang sedang berlaku sekarang.

Mahu tidak mahu semua kepincangan dan kelemahan mestilah diakui jika parti sendiri mahukan semua pilihanraya umum atau kecil tidak diganggu atau di dalangi oleh pihak-pihak tertentu. Mustaffa Kamil Ayub sewaktu memberikan ucapan ringkas kepada penyokong parti ada menyebt tentang ada perlunya "mock run" atau "trial run" diadakan dahulu sebelum "satu ahli satu undi" ini dijalankan bagi mendapat kan satu sistem pembuangan undi yang lebih efektif dan berkesan.

Apa pun semua ahli mesti bersabar dan menunggu apa jua keputusan pimpinan tinggi parti, dengan kesungguhan dan kredibiliti Pengerusi JPP dan Presiden sendiri dalam menangani krisis ini, diharap masalah ini tidak berpanjangan demi masa depan parti.

Hidupkan demokrasi! Kuburkan exploitasi!

@seri beruntung, hulu selangor

Saturday, November 6, 2010

Tangguh pemilihan PKR, gantung JPP - MUSTAFFA KAMIL AYUB

Naib presiden PKR yang bertanding jawatan timbalan presiden, Mustaffa Kamil Ayub mendesak supaya jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) digantung dan proses pemilihan parti ditangguhkan.

"Sehingga kita yakin sepenuhnya badan atau jawatankuasa pemilihan ini mengambil tindakan yang proaktif membaiki kelompangan yang ada," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, ejen seorang lagi calon jawatan timbalan presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim mendesak supaya dihentikan pemilihan parti itu kerana mendakwa berlakunya penyelewengan yang serius di empat cabang yang mengadakan pengundian memilih pucuk pimpinan parti itu pada 29 Oktober lalu.
Sambil menyifatkan proses pemilihan parti amat mendukacitakan, Mustaffa berkata tindakan ini perlu, supaya ianya tidak akan menimbulkan pelbagai masalah dalam proses pemilihan parti 2010 seterusnya.
"Kita juga pernah menyuarakan bantahan sebelum ini, dalam peringkat proses pencalonan dan pemilihan cabang terhadap JPP," katanya.
Katanya, bantahan itu dibuat disebabkan banyaknya berlaku masalah dan ketidakseragaman dalam melaksanakan syarat dan peraturan pertandingan yang sepertimana yang ditetapkan oleh JPP sendiri.
"Secara jelasnya, walaupun terdapat banyak bantahan yang telah dikemukakan, sehingga kini tidak ada apa-apa tindakan dan keputusan yang diambil oleh jawatankuasa tersebut, walaupun terdapat syarat dan peraturan tidak yang secara jelas tidak dipatuhi," katanya.
Permasalahan itu, tambahnya, terus berlarutan sehingga ke proses pemilihan Majlis Pimpinan Pusat yang sedang berjalan dan akan berakhir pada 21 November ini.
"Ketelusan terhadap JPP ini terus dipertikaikan oleh pelbagai pihak, dengan beberapa insiden, salahlaku yang telah berlaku secara jelasnya, di mana terdapat kaedah pengendalian tidak bersikap profesional dan bersifat condong sebelah pihak.
"Ini termasuk, soal penjumlahan undi yang diumumkan tidak konsisten, terutamanya keputusan yang melibatkan kedudukan jawatan timbalan presiden," tambahnya.
Sambil menggesa supaya JPP digantung dan proses pemilihan parti ditangguhkan, Mustaffa pihaknya telah menyiapkan memorandum cadangan bagi penambahbaikan JPP untuk diserahkan kepada presiden PKR dan pengerusi JPP.
"Kami juga menegaskan, bentuk tindakan yang kami lakukan ini adalah kerana kami meletakkan kepentingan parti itu di atas, malah juga untuk menjaga keharmonian dan kepentingan parti ini.
"Hasrat baik pendekatan parti untuk memberi kuasa memilih kepada kepada setiap anggota pastinya tergugat dan terhalang, sekiranya badan atau jawatankuasa yang dilantik tidak dapat berperanan dengan sebaiknya.
"Kita tidak mahu anggota parti sendiri ditipu dan dizalimi oleh kerana kepentingan pihak tertentu, sepertimana apa yang kita perjuangkan untuk memberi keadilan untuk semua," katanya sambil mendesak supaya suara akar umbi dikembalikan dalam PKR.

Tuesday, November 2, 2010

Aktivis reformasi desak JPP PKR dikaji semula - impak negatif kepada masadepan parti

Aktivis Reformasi menyatakan kekesalan tentang kesalahan maklumat dari Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat yang berlaku hari ini, yang telah menimbulkan kekeliruan berhubung pemilihan Parti Keadilan Rakyat 2010. Aktivis Reformasi merasakan apa yang berlaku hari ini selepas rentetan demi rentekan isu teknikal yang berlaku sebelum ini menunjukkan kelemahan ketara Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR (JPP) dan pihak Sekretariat Ibu Pejabat sebagai pengendali pemilihan Parti 2010.
Kesilapan melaporkan keputusan pemilihan Parti bagi jawatan Timbalan Presiden antara YB Azmin Ali dan Dato’ Zaid Ibrahim memperlihatkan kelemahan kedua-dua badan tersebut. Perkara ini berlaku apabila Timbalan Setiausaha Agung Parti, Puan Syarifah Shahidah pagi tadi melalui akaun twitternya telah mengeluarkan keputusan yang menggambarkan bahawa Dato’ Zaid Ibrahim sedang mendahului YB Azmin Ali dan disiarkan sebagai keputusan rasmi dalam kolum rasmi pemilihan 2010 di website Parti.
Ini menyebabkan media dan portal internet melaporkan bahawa Dato’ Zaid kekal mendahului undi Timbalan Presiden selepas hari ketiga. Namun apa yang berlaku setelah menyedari kesilapan Setiausaha Agung PKR, YB Saifuddin Nasution telah memberikan angka yang sebenar iaitu YB Azmin mendahului undi bagi jawatan Timbalan Presiden.
Kami melihat kelemahan kedua-dua badan tersebut adalah pada perkara paling asas mengumumkan keputusan pemilihan. Hal ini adalah sesuatu yang tidak adil bagi YB Azmin Ali dan juga bagi pihak Dato’ Zaid Ibrahim yang sedang merebut jawatan nombor dua Parti. Dan ianya juga memberi kesan psikologi dan mental kepada para penyokong kedua-dua pemimpin utama yang giat berkempen di bawah.
Kesilapan demi kesilapan teknikal yang berlaku disebabkan JK Pemilihan Pusat dan Sekretariat Ibu Pejabat Parti telah memberi impak yang negatif, imej buruk yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap kemampuan Parti untuk mentadbir negara. Akan lebih malang lagi jika rakan Parti Pakatan Rakyat PAS dan DAP mula hilang keyakinan kepada kemampuan Parti untuk bersama Pakatan Rakyat.
Oleh itu, kami mendesak Pimpinan Parti, khususnya Ketua Umum, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil perhatian pandangan aktivis reformasi. Kita mengkritik kelemahan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang tidak adil dan telus, dan sepatutnya kita memberi contoh kepada SPR bagaimana hendak mengendalikan pilihanraya dengan adil dan telus. Pimpinan Parti mesti mengambil langkah segera berhubung perkara ini, jangan sampai kita diberi pepatah “Seperti ayam yang berkokok berdegar-degar tetapi ekor penuh tahi”.

Salam reformasi.
Emel: dari Salam Reform

Saturday, October 23, 2010

Team Chegubard, Adun Teja kecewa soal kaum pengaruhi trend undi sayap muda


Badrul Hisham Shaharin dan Chang Lih Kang menunjukkan manifesto barisan mereka yang bertanding jawatan Angkatan Muda Keadilan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
SENAWANG, 23 Okt — Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin yang bertanding jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dengan gandingan Adun Teja Chang Lih Kang sebagai timbalannya kecewa kerana faktor kaum dijadikan pertimbangan sokongan pemilihan sayap muda PKR itu.
Badrul Hisham yang turut dikenali sebagai “Chegubard” berkata, beliau terkilan kerana aspek kaum masih dianggap sebagai faktor untuk memberikan sokongan kepada Chang yang dimasukkan dalam barisannya.
Katanya, ahli-ahli PKR seharusnya menunjukkan teladan positif kepada parti lain dengan mengetepikan soal ini.
“Saya mendengar di bawah (akar umbi), ada cakap-cakap yang bertanya mengapa saya pilih Chang Lih Kang, orang Cina sebagai calon bagi jawatan timbalan ketua AMK dalam pasukan saya.
“Saya hairan dengan perkara macam ini yang kelihatan masih wujud (dalam PKR) sedangkan kita tidak harus ikut garisan perkauman.
“Dia kaum apa, latar belakang apa, tidak harus wujud dalam PKR. Saya memang kecewa (apabila mendengar isu ini),” kata beliau ketika ditemui pada sesi pengenalan calon barisannya kepada ahli-ahli AMK PKR Negeri Sembilan di sini malam tadi.
Barisannya bertanding atas tema “Penerus Perjuangan Reformasi”. Kata Badrul Hisham, ada pihak yang mempersoalkan sebab beliau memilih calon timbalannya daripada kalangan orang Cina. Perkara itu turut diakui Chang dalam ucapannya.
Dalam PKR, keanggotaan 50 peratus adalah orang Melayu, 23 peratus India, 12 peratus Cina dan 15 peratus lain-lain.
Bagaimanapun Badrul Hisham menekankan, isu itu belum mencapai tahap yang serius tetapi sebagai sebuah parti pelbagai kaum, perkara seperti ini tidak seharusnya wujud.
“Saya masih menganggap soal membangkitkan Chang Lih Kang seorang calon Cina dan tidak harus undi bagi jawatan timbalan sebagai kes terpencil.
“Kami yakin soal-soal ini tidak akan menjejaskan peluang kami untuk menang kerana kami mengetengahkan visi dan misi kami kepada para ahli,” kata beliau lagi.
Kata beliau, pasukannya juga tidak membuat sebarang aduan mengenai isu berkenaan kepada jawatankuasa pemilihan pusat.
Ditanya mengenai pihak di belakang isu berkenaan, Badrul Hisham tidak mahu menuding jari ke arah mana-mana pihak.
Persaingan jawatan ketua AMK menyaksikan pertarungan satu lawan satu.
Badrul Hisham, ketua PKR Rembau mencabar Shamsul Iskandar Mohd Akin yang memutuskan untuk mempertahankan kedudukannya. Gandingan Shamsul Iskandar bagi jawatan timbalan ketua AMK ialah Khairu Anuar Zainudin Jonah.
Sementara itu, Chang yang berucap pada majlis tersebut berkata, beliau berharap ahli-ahli PKR khususnya AMK akan mengetepikan pemberian sokongan mengikut garis kaum dan latar belakang.
“Saya tidak kisah kalau saya kalah kerana saya tidak kacak, saya tidak kisah kalau saya kalah jika atas alasan saya tidak pandai berucap, tetapi saya tidak mahu kalah kerana menganggap saya seorang Cina atau kerana latar belakang saya,” kata beliau yang juga bekas pemimpin pertubuhan bukan kerajaan Suaram dan Gerkaan Anti-ISA (GMI).
“Saya pernah terlibat dalam NGO Suaram, pernah bertindak sebagai setiausaha GMI... semasa dalam GMI, saya membantu mereka yang ditahan di bawah ISA, yang kebanyakan adalah orang Melayu-Islam termasuk anak Mursyidul Am PAS (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat),” kata beliau.
“Saya pernah ditahan kerana membantu orang Melayu yang rumah mereka dirobohkan di Ampang, itu komitmen saya tak kira agama dan kaum.
“Kami akan membantu semua orang ... sebab itu saya sedih dengan tindakan segelintir orang yang menganggap saya orang Cina... nilai saya atas kebolehan saya, keupayaan saya, bukan kerana warna kulit dan latar belakang,” kata beliau.
Selain Chang, barisan calon Badrul Hisham terdiri daripada  Dr Nicholas J Gantobon dari Sabah, Yunus Jamhari (Perak) dan Sivam Veeramuthu (Selangor) yang bertanding tiga kerusi naib ketua.
Proses pengundian pemilihan pusat PKR termasuk AMK dan Wanita akan bermula 29 Oktober ini, dijalankan secara berperingkat selama tiga minggu.
Ini kali pertama PKR memperkenalkan sistem pemilihan secara langsung melibatkan undi setiap ahli.