Thursday, December 1, 2011

SHAHRIZAT SELEWENG DANA NFC ~ RAFIZI

KUALA LUMPUR, 30 Nov: Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli (gambar) terpanggil untuk terus menyenaraikan perbelanjaan-perbelanjaan boros bersifat peribadi yang didakwa dibuat keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.
Ini, katanya memandangkan Ketua Wanita Umno itu langsung tidak menunjukkan tanda-tanda insaf setelah PKR membuat pelbagai pendedahan mengenai penyelewengan dana NFC.
Rafizi mendakwa pada 9 Disember 2009, keluarga Shahrizat menggunakan wang dari pinjaman mudah RM250 juta untuk membeli sebuah kereta mewah Mercedes Benz CLS 350 CGI berharga RM534,622.
Beliau juga mendakwa, dana sebanyak RM3,363,507 telah disalurkan melalui NMLC untuk membeli dua bidang tanah di Putrajaya iaitu PT1886 dan PT1887, Presint 10, Putrajaya.
“Kebarangkalian tanah-tanah ini dibeli untuk membuka ladang ternakan lembu di Putrajaya adalah tipis,” ujarnya dalama satu kenyataan.
Jelasnya, semakan bayaran-bayaran yang dibuat melalui cek dari akaun 141640000066107 CIMB Islamic Bank Berhad di bawah nama NFC menunjukkan bayaran yang besar dan berulang kali dibuat kepada Impian Global Network Services (IGNS).
Menurutnya, siasatan PKR menunjukkan IGNS adalah sebuah syarikat pelancongan yang menawarkan pakej percutian di Phuket, Kuching, Banding, Singapura dan Bali (sila lawati laman http://impianglobalnetworkservices.blogspot.com/ )
Dakwanya lagi, antara bulan Januari hingga Julai 2010, 15 cek berjumlah RM455,423 dikeluarkan kepada IGNS (butiran seperti di bawah).
Ini, jarnya menimbulkan tanda tanya bagaimanakah sebuah syarikat yang sepatutnya menguruskan ladang ternakan lembu menjadikan perbelanjaan pakej percutian sebagai perbelanjaan bulanan.
“Apakah ia telah disalahgunakan untuk membiayai percutian ahli keluarga menteri dan rakan-rakan mereka?” soalnya.

TARIKH NO CEK JUMLAH (RM)
8 Jan 2010 001376 1,524
13 Jan 2010 001406 1,709
26 Jan 2010 001465 28,476
24 Feb 2010001540 12,743
24 Feb 2010001543 3,076
9 Mac 20100015872 2,400
9 Mac 20100015902 6,572
9 Mac 2010 001592 5,776
31 Mac 2010 001671 45,428
22 April 2010 001735 27,853
13 Mei 2010 001789 45,235
25 Mei 2010 001825 3,196
18 Jun 2010 001848 120,521
16 Julai 2010 001922 89,800
16 Julai 2010 001923 21,114
JUMLAH                  455,423

Menurutnya, pada 21 Julai 2010, NFC memindahkan sejumlah RM588,585 ke akaun milik Meatworks (Singapore) Pte Ltd milik keluarga menteri.
“Tindakan ini bertentangan dengan fungsi NFC tatkala Ketua Pemuda Umno mendakwa bahawa NFC tidak mempunyai sebarang urusniaga dengan Singapura kerana daging mentah Malaysia tidak boleh dieksport ke Singapura.
“Jika itu keadaannya, kenapa sejumlah besar wang dipindahkan ke Singapura?” tanya beliau.
Justeru, katanya Shahrizat Jalil hanya ada dua pilihan sama ada menjelaskan satu persatu perbelanjaan-perbelanjaan itu di Perhimpunan Agung Umno dalam masa terdekat, atau terus mengheret Umno dan Barisan Nasional ke dalam kancah skandal peribadi beliau.
Rafizi menambah, pihaknya akan mengaturkan beberapa siri laporan polis serentak di seluruh negara untuk mendesak pihak berkuasa segera menyiasat penyelewengan dalam pendedahan terbaru itu.
(sumber : harakahdaily)

Sunday, November 27, 2011

DEMI RAKYAT, MELAKAR MASA DEPAN MALAYSIA ~~ DS WAN AZIZAH


JOHOR BAHRU 26 Nov: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menegaskan KEADILAN sudah bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang dan akan memilih calon yang benar-benar berwibawa.
“Jentera pilihan raya telah diperkemas; latihan dan persiapan rapi terus dijalankan.
“Kami ingin memberi jaminan bahawa calon yang bakal ditonjolkan dirundingkan terlebih dulu dengan cabang dan akar umbi, terdiri daripada mereka yang layak dan diyakini punya prinsip perjuangan dan tidak mungkin dituai dengan jutaan ringgit sogokan musuh,” kata Wan Azizah.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasarnya dengan tema ‘Demi Rakyat, Melakar Masa Depan Malaysia’, pada Kongres Nasional Tahunan KEADILAN kelapan 2011 di Pulai Spring Resorts, Johor Bahru.
Dalam ucapan sama, Wan Azizah turut meniup semangat juang menghadapi pilihan raya umum akan datang yang mungkin berlangsung pada bila-bila masa sahaja.
Menurutnya, cabaran terbesar KEADILAN iaitu untuk memenangi hati rakyat perlu terus didepani walaupun berdepan kekangan seperti pilihan raya yang tidak bebas mahu pun adil.
“Sekiranya kita dapat menembus malah menumpas kubu Umno-BN dengan segala kekurangan dan keterbatasan yang ada kita pasti berupaya mencatat keputusan cemerlang sehingga ke Putrajaya, Insya-Allah,” kata Wan Azizah.
KEADILAN juga, kata Wan Azizah, perlu membebaskan Malaysia dari ‘penguasa elit’ yang terus membiarkan rakyat menderita dan menafikan hak mereka mendapat terbaik dalam kehidupan.
“Malaysia negara berpotensi besar. Rakyatnya yang bersaudara gigih berusaha. Negara dibina atas landasan agama dan akar budaya.
“Namun, cita-cita kita direncat oleh elit kekuasaan. Rasuah dan ketamakan membarah. Rakyat dibiarkan menderita dengan kepayahan hidup.
“Setiap daripada kita berhak mendapat yang terbaik. Pendidikan berkualiti, kebajikan terbela, peluang saksama dan pentadbiran beramanah menanti kita,” kata Wan Azizah.
Turut serta dalam majlis perasmian kongres tersebut ialah Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dif kehormat dari Kesatuan Eropah, Jepun, Filipina, Palastin dan pemimpin-pemimpin parti politik dari Indonesia.
Majlis perasmian Kongres Nasional Keadilan ke-8 ini dihadiri 2,534 perwakilan selain 1055 pemerhati.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=23491

Friday, November 18, 2011

TS KHALID ~ DUN SELANGOR TIDAK AKAN DIBUBAR SEHINGGA JUN 2012

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri Selangor jika pilihan raya umum diadakan sebelum Jun 2012.

"Saya sebagai Menteri Besar hari ini menyatakan pendirian kerajaan negeri bahawa jika pilihanraya umum dilakukan kurang enam bulan maka kita tidak akan sertai tetapi jika sebaliknya negeri Selangor akan bersama dalam pilihan raya itu.

"Ini adalah ingin memastikan segala apa yang kita janjikan pada belanjawan kali ini dapat dipenuhi sepenuhnya serta rakyat dapat menikmati apa yang telah kita janjikan.

"Banyak yang kerajaan negeri telah janjikan dan kita mahu pastikan ia dapat dilaksanakan sepenuhnya," katanya selepas majlis penutup sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Pada sidang akhbar itu, Abdul Khalid juga menolak dakwaan bahawa Pakatan Rakyat Selangor tidak yakin akan memenangi pilihan raya itu.

"Kita kena fikir positif dan apa yang dilakukan ini adalah untuk kebaikan, untuk apa kita berbahas tentang bajet dan sebagainya jika kita turut sama dalam pilihan raya sehinggakan apa yang dijanjikan pada belanjawan kali ini tidak dapat ditunaikan sepenuhnya," katanya.

Pada masa yang sama Abdul Khalid juga meminta setiap pihak menghormati intitusi di negeri ini terutamanya Institusi Raja, Dewan Negeri, Kerajaan Negeri dan rakyat.

"Sebagai menjadikan sebuah negeri yang harmoni setiap pihak perlu bekerjasama tanpa ada sebarang sikap prasangka dan yang perlu dilakukan oleh wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat adalah melaksanakan apa yang telah diamanahkan," katanya.

malaysiakini/-

Thursday, November 17, 2011

MENGAPA MUHYIDDIN YASSIN BERIYA2 BENAR JAWAP UTK SHAHRIZAT JALIL ~ MAT SABU ADA JAWAPANNYA

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Jawapan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada desakan supaya Datuk Seri Shahrizat Jalil meletak jawatan mengundang rasa kasihan Mohamad Sabu.

"Kasihan sungguh pada Muhyiddin apabila membaca jawapannya itu. Nampak tak berdaya sungguh beliau hendak memikirkan jawapan yang meyakinkan kepada tuntutan supaya Shahrizat meletak jawatan.

"Maklumlah, Muhyiddin tentu tahu beliau juga perlu meletak jawatan kerana beliau adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika projek lembu itu diserahkan kepada keluarga Shahrizat," kata Timbalan Presiden PAS itu.


Mohamad percaya, Muhyiddin juga tentu tahu bahawa Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin tidak akan berani menuntut Shahrizat meletak jawatan tanpa restu secara diam-diam orang atasan.

"Sebab itu nampak bingkas sungguh Muhyiddin memberikan jawapan sedangkan sebelum ini beliau membisu mengenai isu NFC (Pusat Fidlot Kebangsaan) itu," kata beliau.

Mohamad tidak percaya Bung Moktar berani melakukan sesuatu yang menimbulkan kemarahan seluruh kepimpinan tertinggi Umno.

Tindakan seperti itu boleh membunuh kerjaya politiknya, kata beliau lagi.

"Kalau tidak ada restu, saya tidak percaya dia berani tunjuk hero minta Shahrizat berundur.

"Bukan Shahrizat sahaja yang terasa sakitnya. Muhyiddin lebih terasa lagi," kata Mohamad.

Isnin lalu, ketika berucap dalam sidang Dewan Rakyat, timbalan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) itu menuntut Shahrizat meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berikutan penglibatan keluarganya dalam NFC.

Ketika menjawab tuntutan itu, Muhyiddin berkata, Ketua Wanita Umno itu tidak perlu meletakkan jawatan dalam kabinet dan parti kerana beliau tidak terlibat secara langsung dalam projek penuh kontroversi yang diuruskan oleh anggota keluarganya itu.

"Seruan Bung itu saya fikir tak perlulah sangat. Soal-soal sebegini khusus di kalangan kita sama kita (sesama Umno) kerana ia tidak secara langsung menyatakan Shahrizat terlibat.

"Sebenarnya, ini soal operasi perniagaan yang diuruskan oleh keluarga tetapi Shahrizat sendiri tidak terlibat," katanya.

Sebelum ini, beberapa blog dan laman sosial ahli-ahli Umno menuduh Muhyiddin mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd Yasin pernah menuduh Timbalan Presiden Umno itu membuka jalan kepada kemenangan pembangkang.

Selepas itu, katanya, "Muhyiddin Yasin akan minta PM Najib letak jawatan saperti yang pernah dia lakukan kepada (Tun) Abdullah Hj Ahmad (Badawi)".

Zaharin, yang menuduh Muhyiddin sebagai "anak paria", "penyamun besar" dan "perosak Umno", mendakwa beliau mempunyai maklumat bahawa Muhyiddin terbabit hendak menjatuhkan Najib.

/Harakahdaily

Tuesday, November 1, 2011

APA HUBUNGAN MALAYSIA DGN ISRAEL ~ SUSAH KE NAK JAWAB



PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa berkata sikap membisu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed apabila diajukan soalan mengenai hubungan diplomatik dengan Israel disifatkan mempunyai ‘udang disebalik batu’.
Er mendapati kenyataan dalam sebuah laman web www.anakmudamalaysia.com bahawa wujud beberapa dokumen kastam, buku-buku dan ucapan Menteri Perdagangan dan Industri Israel yang menunjukkan hubungan dagang dengan Malaysia.
Maka penjelasan lanjut dikemukakan beliau ketika persidangan Dewan Rakyat semalam sehingga menyebabkan beliau diarahkan meninggalkan dewan oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Katanya disebabkan keengganan menteri menjawab disebalik kebenaran laman web itu menunjukkan seolah-olah kerajaan menyorokkan sesuatu berhubung hal tersebut.

“Saya hanya meminta Menteri untuk menjawap benar atau tidak wujudnya hubungan dagang ini. Sekiranya tidak, Perdana Menteri harus menafikan kenyataan Menteri Perdagangan dan Industri Israel, Mischa Harish yang menyebut secara jelas dalam kata-kata aluan beliau dalam majalah promosi perdagangan Isreal.
Menteri Israel itu dipetik sebagai berkata, “The public declaration of the Malaysian Prime Minister and Minister of International Trade and Industry that their country intends to pursue economic relations with Israel is another milestone in the development of trade in this continent.”
“Kenyataan Mischa Harish ini boleh mengguris hati bukan sahaja umat Islam di Malaysia tetapi juga seluruh rakyat yang mengutuk kekejaman tentera Zionis Israel terhadap rakyat awam Palestin beberapa tahun ini,” dakwa beliau.
Menurut Er selama ini kerajaan Barisan Nasional (BN) kerap menuduh Pakatan Rakyat sebagai agen zionis, namun hakikatnya mereka yang sebenarnya bersekongkol dengan Israel.
Er berkata isu ini bukan kecil kerana ia melibatkan pandangan dunia terhadap Malaysia, memandangkan seantero dunia menyelar kekejaman Israel terhadap Palestin.
Jelas beliau, Malaysia dilihat vocal dalam menyuarakan pandangan mengutuk kekejaman Israel, malah negara kita aktif menyalurkan bantuan kemanusiaan terhadap penduduk Palestin.
“Kenyataan Mischa Harish dan pendedahan dokumen Kastam transaksi perdagangan dengan syarikat berpengkalan di Israel, apatah lagi keengganan Menteri menjawap boleh mencacatkan pandangan dunia terhadap inisiatif Malaysia terhadap isu kemanusiaan di Semenanjung Gaza,” katanya yang juga wakil rakyat dari DAP.