Thursday, April 1, 2010

Semua bakal calon Parlimen Hulu Selangor berjumpa Ds Anwar ...

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi telah menemui kira-kira 10 orang, termasuk penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim, yang disebut-sebut bakal dipilih menjadi calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya Hulu Selangor tidak lama lagi.
Menurut sumber-sumber, pertemuan tersebut diadakan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya selepas tamatnya mesyuarat biro politik parti itu kira-kira jam 11 malam tadi.
“Mereka masuk (bertemu Anwar) secara berperingkat-peringkat, dimulakan dengan dua anggota biro politik, Datuk Zaid Ibrahim (kiri) dan Shamsul Iskandar Md Akin,” kata mereka ketika ditanya tentang pertemuan tersebut.
Kerusi parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad ada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Berikutan itu spekulasi berhubung siapakah bakal dicalonkan bagi bertanding mempertahankan kerusi tersebut, berterusan dalam PKR.
Pelbagai nama disebut-sebut telah dikemukakan kepada parti. Selain Zaid dan Shamsul (kiri), turut disebut-sebut ialah penceramah popular, Badrul Amin; presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud; bekas setiausaha akhbar Anwar, Khalid Jaafar; dan aktivis peguam, N Surendran.
Manakala PKR cabang tersebut pula menamakan dua anak tempatan - Razali Mokhtar dan Datuk Dr Halili Rahmat.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, sumber-sumber memberitahu kesemua nama yang disebut-sebut itu dipanggil, termasuk beberapa nama lagi yang tidak diketahuinya.
“Jumlah kesemuanya kira-kira sepuluh orang,” kata sumber-sumber itu. Terdapat sumber lain memberitahu, jumlah keseluruhannya 11 orang.
Tambah mereka, pertemuan tersebut hanya sesi “sembang-sembang” dengan Anwar bagi mengenalpasti calon yang paling layak untuk dipilih.
Ditanya tentang perbincangan biro politik yang bersidang malam tadi, sumber-sumber memaklumkan bahawa soal pemilihan calon ditimbulkan tetapi “tidak dibincangkan sangat” kerana ia merupakan bidang kuasa presiden dan ketua umum.
“Presiden dan ketua umumlah yang akan memilihnya,” katanya yang menjangka pemilihan calon tidak akan dibuat tergesa-gesa, termasuk dalam mesyuarat majlis tertinggi PKR Ahad ini.
Ditanya tentang nama-nama yang dianggap selesa, sumber tersebut menamakan Syed Shahir dan Khalid.
“Yang lainnya masih 50-50,” katanya sambil menambah, kemungkinan terdapat di kalangan mereka yang dipanggil semalam tidak berminat dan akan memberikan laluan kepada pihak lain.

Monday, March 29, 2010

SOI LEK MENANG ! KEMANA ARAH MCA SEKARANG ?


Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memenangi jawatan presiden MCA manakala Datuk Seri Liow Tiong Lai pula menang jawatan timbalan presiden.

Empat jawatan naib presiden dimenangi oleh Datuk Ng Yen Yen, Gan Ping Sieu, Datuk Donald Lim dan Datuk Chor Chee Heung.

Chua mendapatkan 901 undi, menewaskan Tan Sri Ong Ka Ting yang mendapat 833 undi manakala Datuk Seri Ong Tee Kiat memperolehi 578 undi.

Bagi jawatan timbalan pula, Liow mendapat 1,171 undi, menewaskan Datuk Kong Cho Ha yang memperolehi 1,106 undi.

Bagi jawatan naib presiden, Dr Ng mendapat 1,528 undi, Donald Lim (1,469) manakala Chor dan Gan masing-masing mendapat 1,202 undi.

Yang paling menarik ialah mereka yang menang, merupakan campuran penyokong kepada Chua, Ka Ting dan Tee Keat.

Liow merupakan regu kepada Ka Ting, manakala bagi naib presiden pula, Dr Ng dikaitkan dengan Chua, Chor (Ka Ting), Gan (Tee Keat) manakala Donald Lim dilihat tidak memihak.

Manakala 25 pemenang jawatankuasa pusat ialah:

1. Tan Ken Ten
2. Koh Nai Kwong
3. Loh Seng Kok
4. Tan Cheng Liang
5. Gan Tian Loo
6. Chong Itt Chew
7. Hou Kok Chung
8. Lee Chee Leong
9. Wee Jeck Seng
10. Chuah Poh Khiang
11. Hoh Khai Mun
12. Heng Seai Kie
13. Kong Sing Chu
14. Teh Kim Poo
15. Wong Koon Mun
16. Tee Siew Kiong
17. Tan Ah Eng
18. Ti Lian Ker
19. Tan Chai Ho
20. Por Choo Chor
21. Lee Wei Kiat
22. Ong Ka Chuan
23. Liew Yuen Keong
24. Yoo Wei How
25. Toh Chin Yaw

Malaysiakini/-

Sunday, February 7, 2010

Kenyataan Nasir Safar Tanda Gagal 1Malaysia - Dr Tan Yee Kiew

Kenyataan rasis Datuk Nasir Safar, pegawai khas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan tanda kegagalan konsep dan pelaksanaan projek “1Malaysia” yang telah menelan berjuta-juta ringgit duit rakyat.
Haruslah jelas bahawa orang kanan Perdana Menteri itu telah mengeluarkan kenyataan tersebut dalam satu seminar “1Malaysia” di mana ianya merupakan satu program rasmi yang bertujuan untuk menerangkan konsep “1Malaysia”.
Adalah munasabah pihak penganjur menjemput Nasir untuk berucap dalam seminar tersebut atas nama pegawai khas kepada Perdana Menteri yang cukup layak untuk menjelaskan ide baru pentadbiran Najib itu.
Maka kenyataan rasis Nasir itu menunjukkan kegagalan pucuk pimpinan Barisan Nasional, khususnya Najib sendiri dalam menterjemahkan konsep “1Malaysia” ke dalam realiti masyarakat majmuk Malaysia.
Hari ini Najib terpaksa menerima hakikat bahawa orang kanannya sendiri pun tidak memahami ataupun bersetuju dengan konsep yang diwar-warkan olehnya sendiri, apatah lagi seluruh jentera pelaksana dan barisan pimpinan BN.
Hakikatnya konsep “1Malaysia” di dalam papan iklan, siaran radio dan televisyen, program indoktrinasi seperti seminar dan forum, dan papan tanda klinik kesihatan lebih bersifat kepentingan hiasan tingkap yang menghabiskan wang rakyat, dan bukannya kepentingan rakyat secara keseluruhan.
Kini Nasir telah melepaskan jawatannya bagi menjaga imej Perdana Menteri. Namun Parti Keadilan Rakyat yakin rakyat akan menyokong perubahan dasar yang sebenar sepertimana dilakukan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat, dan bukannya perubahan slogan yang kosong.

Dr Tan Yee Kiew
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat

Monday, February 1, 2010

DS ANWAR - BN GUNA TAKTIK BARU UMPAN YB PAKATAN RAKYAT


Barisan Nasional menggunakan taktik baru untuk memancing ahli parlimen pakatan rakyat meninggalkan parti masing-masing.
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, datuk seri Anwar Ibrahim berkata, wakil Barisan Nasional kini menggalakkan ahli-ahli PKR yang dipercayai tidak puas hati dengan beberapa isu dalam parti supaya menyertai parti ketiga.
Beliau menamakan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat dr jamaluddin jarjis sebagai orang tengah atau broker memancing bekas timbalan ketua Keadilan Pahang, Azan Ismail supaya menyertai Parti Cinta Malaysia atau PCM.
Pada masa yang sama wakil PCM juga cuba memujuk ahli parlimen Keadilan Balik Pulau Yusmadi Yusuf supaya menyertai parti baru itu.
Azan Ismail yang juga ahli parlimen PKR bagi kerusi Indera Mahkota mengumumkan peletakan jawatan sebagai timbalan ketua PKR Pahang kerana berseliseh pendapat dengan kepemimpinan negeri.
Anwar percaya barisan nasional berusaha memujuk wakil-wakil rakyat PKR dan mungkin parti kerabat Pakatan Rakyat bagi meninggalkan parti masing-masing sebelum sambutan Tahun Baru Cina dua minggu lagi.

Thursday, January 28, 2010

AZMIN ALI - ADA MAKLUMAT PEMUDA UMNO TERLIBAT DLM SERANGAN GEREJA DESA MELAWATI



Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali akan mendedahkan satu maklumat yang diperolehinya yang mendakwa sebahagian yang dituduh berhubung kes serangan gereja di Desa Melawati tempoh hari adalah dari ahli pemuda Umno.
Bercakap kepada pemberita, beliau berkata sedang mengumpul maklumat berkaitan sebelum mendedahkan nama-nama tersebut kepada umum.
Selain nama, beliau juga sedang dalam usaha mendapatkan nombor kad pengenalan dan nombor keahlian Umno kesemua mereka yang didakwa terlibat.
"Berdasarkan senarai nama tertuduh yang telah didakwa di mahkamah, sebahagian daripada mereka pemuda Umno bahagian Gombak dan bahagian Ampang.
"Maklumat awal yang saya dapat, sekurang kurangnya empat atau lima orang ahli Umno, malah cawangan mana pun saya sudah perolehi," katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.
Pada 8 Januari lalu, Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, terbakar diserang dengan bom api.
Pada masa sama, beliau mendesak Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menjawab segera dakwaan penglibatan ahli Umno dalam kes terbabit.
"Saya lihat trend hari ini, survival Umno itu hanya boleh diperolehi melalui permainan isu kaum dan agama.
"Saya harap Umno hentikan sentimen seperti ini kerana ia cukup bahaya kepada rakyat Malaysia," katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu melawat tempat kepala babi yang dilontar di perkarangan masjid Taman Datuk Harun di Petaling Jaya awal pagi ini.
Berhubung hal itu, PKR jelasnya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut.Islam tegasnya tidak menganjurkan perbuatan khianat seperti itu apatah lagi yang boleh mencetuskan keadaan tidak tenteram dikalangan rakyat Malaysia yang majmuk.
"Pihak polis harus kerah seluruh kekuatan yang ada untuk menjaga ketenteraman awam dan bukan menjaga keselamatan dan ketenteraman pemimpin Umno dan Barisan Nasional sahaja," katanya.

Saturday, January 23, 2010

AL-FATIHAH. SULTAN JOHOR MANGKAT.



DYMM Sultan Johor Tuanku Sultan Iskandar Al Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail Al Khalidi mangkat jam 7.08 malam hari ini (7.08pm today). Baginda berusia 77 tahun.
Baginda, telah dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri Johor Bahru hari ini dan ekoran itu Jemaah Majlis Diraja Johor telah bersetuju melantik Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar, Tengku Mahkota Johor sebagai Pemangku Raja.
Semoga Allah SWT. mencucuri rahmat ke atas roh Baginda.