Sunday, November 27, 2011

DEMI RAKYAT, MELAKAR MASA DEPAN MALAYSIA ~~ DS WAN AZIZAH


JOHOR BAHRU 26 Nov: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menegaskan KEADILAN sudah bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang dan akan memilih calon yang benar-benar berwibawa.
“Jentera pilihan raya telah diperkemas; latihan dan persiapan rapi terus dijalankan.
“Kami ingin memberi jaminan bahawa calon yang bakal ditonjolkan dirundingkan terlebih dulu dengan cabang dan akar umbi, terdiri daripada mereka yang layak dan diyakini punya prinsip perjuangan dan tidak mungkin dituai dengan jutaan ringgit sogokan musuh,” kata Wan Azizah.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasarnya dengan tema ‘Demi Rakyat, Melakar Masa Depan Malaysia’, pada Kongres Nasional Tahunan KEADILAN kelapan 2011 di Pulai Spring Resorts, Johor Bahru.
Dalam ucapan sama, Wan Azizah turut meniup semangat juang menghadapi pilihan raya umum akan datang yang mungkin berlangsung pada bila-bila masa sahaja.
Menurutnya, cabaran terbesar KEADILAN iaitu untuk memenangi hati rakyat perlu terus didepani walaupun berdepan kekangan seperti pilihan raya yang tidak bebas mahu pun adil.
“Sekiranya kita dapat menembus malah menumpas kubu Umno-BN dengan segala kekurangan dan keterbatasan yang ada kita pasti berupaya mencatat keputusan cemerlang sehingga ke Putrajaya, Insya-Allah,” kata Wan Azizah.
KEADILAN juga, kata Wan Azizah, perlu membebaskan Malaysia dari ‘penguasa elit’ yang terus membiarkan rakyat menderita dan menafikan hak mereka mendapat terbaik dalam kehidupan.
“Malaysia negara berpotensi besar. Rakyatnya yang bersaudara gigih berusaha. Negara dibina atas landasan agama dan akar budaya.
“Namun, cita-cita kita direncat oleh elit kekuasaan. Rasuah dan ketamakan membarah. Rakyat dibiarkan menderita dengan kepayahan hidup.
“Setiap daripada kita berhak mendapat yang terbaik. Pendidikan berkualiti, kebajikan terbela, peluang saksama dan pentadbiran beramanah menanti kita,” kata Wan Azizah.
Turut serta dalam majlis perasmian kongres tersebut ialah Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dif kehormat dari Kesatuan Eropah, Jepun, Filipina, Palastin dan pemimpin-pemimpin parti politik dari Indonesia.
Majlis perasmian Kongres Nasional Keadilan ke-8 ini dihadiri 2,534 perwakilan selain 1055 pemerhati.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=23491

Friday, November 18, 2011

TS KHALID ~ DUN SELANGOR TIDAK AKAN DIBUBAR SEHINGGA JUN 2012

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri Selangor jika pilihan raya umum diadakan sebelum Jun 2012.

"Saya sebagai Menteri Besar hari ini menyatakan pendirian kerajaan negeri bahawa jika pilihanraya umum dilakukan kurang enam bulan maka kita tidak akan sertai tetapi jika sebaliknya negeri Selangor akan bersama dalam pilihan raya itu.

"Ini adalah ingin memastikan segala apa yang kita janjikan pada belanjawan kali ini dapat dipenuhi sepenuhnya serta rakyat dapat menikmati apa yang telah kita janjikan.

"Banyak yang kerajaan negeri telah janjikan dan kita mahu pastikan ia dapat dilaksanakan sepenuhnya," katanya selepas majlis penutup sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Pada sidang akhbar itu, Abdul Khalid juga menolak dakwaan bahawa Pakatan Rakyat Selangor tidak yakin akan memenangi pilihan raya itu.

"Kita kena fikir positif dan apa yang dilakukan ini adalah untuk kebaikan, untuk apa kita berbahas tentang bajet dan sebagainya jika kita turut sama dalam pilihan raya sehinggakan apa yang dijanjikan pada belanjawan kali ini tidak dapat ditunaikan sepenuhnya," katanya.

Pada masa yang sama Abdul Khalid juga meminta setiap pihak menghormati intitusi di negeri ini terutamanya Institusi Raja, Dewan Negeri, Kerajaan Negeri dan rakyat.

"Sebagai menjadikan sebuah negeri yang harmoni setiap pihak perlu bekerjasama tanpa ada sebarang sikap prasangka dan yang perlu dilakukan oleh wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat adalah melaksanakan apa yang telah diamanahkan," katanya.

malaysiakini/-

Thursday, November 17, 2011

MENGAPA MUHYIDDIN YASSIN BERIYA2 BENAR JAWAP UTK SHAHRIZAT JALIL ~ MAT SABU ADA JAWAPANNYA

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Jawapan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada desakan supaya Datuk Seri Shahrizat Jalil meletak jawatan mengundang rasa kasihan Mohamad Sabu.

"Kasihan sungguh pada Muhyiddin apabila membaca jawapannya itu. Nampak tak berdaya sungguh beliau hendak memikirkan jawapan yang meyakinkan kepada tuntutan supaya Shahrizat meletak jawatan.

"Maklumlah, Muhyiddin tentu tahu beliau juga perlu meletak jawatan kerana beliau adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika projek lembu itu diserahkan kepada keluarga Shahrizat," kata Timbalan Presiden PAS itu.


Mohamad percaya, Muhyiddin juga tentu tahu bahawa Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin tidak akan berani menuntut Shahrizat meletak jawatan tanpa restu secara diam-diam orang atasan.

"Sebab itu nampak bingkas sungguh Muhyiddin memberikan jawapan sedangkan sebelum ini beliau membisu mengenai isu NFC (Pusat Fidlot Kebangsaan) itu," kata beliau.

Mohamad tidak percaya Bung Moktar berani melakukan sesuatu yang menimbulkan kemarahan seluruh kepimpinan tertinggi Umno.

Tindakan seperti itu boleh membunuh kerjaya politiknya, kata beliau lagi.

"Kalau tidak ada restu, saya tidak percaya dia berani tunjuk hero minta Shahrizat berundur.

"Bukan Shahrizat sahaja yang terasa sakitnya. Muhyiddin lebih terasa lagi," kata Mohamad.

Isnin lalu, ketika berucap dalam sidang Dewan Rakyat, timbalan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) itu menuntut Shahrizat meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berikutan penglibatan keluarganya dalam NFC.

Ketika menjawab tuntutan itu, Muhyiddin berkata, Ketua Wanita Umno itu tidak perlu meletakkan jawatan dalam kabinet dan parti kerana beliau tidak terlibat secara langsung dalam projek penuh kontroversi yang diuruskan oleh anggota keluarganya itu.

"Seruan Bung itu saya fikir tak perlulah sangat. Soal-soal sebegini khusus di kalangan kita sama kita (sesama Umno) kerana ia tidak secara langsung menyatakan Shahrizat terlibat.

"Sebenarnya, ini soal operasi perniagaan yang diuruskan oleh keluarga tetapi Shahrizat sendiri tidak terlibat," katanya.

Sebelum ini, beberapa blog dan laman sosial ahli-ahli Umno menuduh Muhyiddin mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd Yasin pernah menuduh Timbalan Presiden Umno itu membuka jalan kepada kemenangan pembangkang.

Selepas itu, katanya, "Muhyiddin Yasin akan minta PM Najib letak jawatan saperti yang pernah dia lakukan kepada (Tun) Abdullah Hj Ahmad (Badawi)".

Zaharin, yang menuduh Muhyiddin sebagai "anak paria", "penyamun besar" dan "perosak Umno", mendakwa beliau mempunyai maklumat bahawa Muhyiddin terbabit hendak menjatuhkan Najib.

/Harakahdaily

Tuesday, November 1, 2011

APA HUBUNGAN MALAYSIA DGN ISRAEL ~ SUSAH KE NAK JAWAB



PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa berkata sikap membisu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed apabila diajukan soalan mengenai hubungan diplomatik dengan Israel disifatkan mempunyai ‘udang disebalik batu’.
Er mendapati kenyataan dalam sebuah laman web www.anakmudamalaysia.com bahawa wujud beberapa dokumen kastam, buku-buku dan ucapan Menteri Perdagangan dan Industri Israel yang menunjukkan hubungan dagang dengan Malaysia.
Maka penjelasan lanjut dikemukakan beliau ketika persidangan Dewan Rakyat semalam sehingga menyebabkan beliau diarahkan meninggalkan dewan oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Katanya disebabkan keengganan menteri menjawab disebalik kebenaran laman web itu menunjukkan seolah-olah kerajaan menyorokkan sesuatu berhubung hal tersebut.

“Saya hanya meminta Menteri untuk menjawap benar atau tidak wujudnya hubungan dagang ini. Sekiranya tidak, Perdana Menteri harus menafikan kenyataan Menteri Perdagangan dan Industri Israel, Mischa Harish yang menyebut secara jelas dalam kata-kata aluan beliau dalam majalah promosi perdagangan Isreal.
Menteri Israel itu dipetik sebagai berkata, “The public declaration of the Malaysian Prime Minister and Minister of International Trade and Industry that their country intends to pursue economic relations with Israel is another milestone in the development of trade in this continent.”
“Kenyataan Mischa Harish ini boleh mengguris hati bukan sahaja umat Islam di Malaysia tetapi juga seluruh rakyat yang mengutuk kekejaman tentera Zionis Israel terhadap rakyat awam Palestin beberapa tahun ini,” dakwa beliau.
Menurut Er selama ini kerajaan Barisan Nasional (BN) kerap menuduh Pakatan Rakyat sebagai agen zionis, namun hakikatnya mereka yang sebenarnya bersekongkol dengan Israel.
Er berkata isu ini bukan kecil kerana ia melibatkan pandangan dunia terhadap Malaysia, memandangkan seantero dunia menyelar kekejaman Israel terhadap Palestin.
Jelas beliau, Malaysia dilihat vocal dalam menyuarakan pandangan mengutuk kekejaman Israel, malah negara kita aktif menyalurkan bantuan kemanusiaan terhadap penduduk Palestin.
“Kenyataan Mischa Harish dan pendedahan dokumen Kastam transaksi perdagangan dengan syarikat berpengkalan di Israel, apatah lagi keengganan Menteri menjawap boleh mencacatkan pandangan dunia terhadap inisiatif Malaysia terhadap isu kemanusiaan di Semenanjung Gaza,” katanya yang juga wakil rakyat dari DAP.

Tuesday, October 25, 2011

UIA TARIK BALIK PENGGANTUNGAN AZIZ BARI

Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menarik balik penggantungan Pakar Perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarahnya berkuatkuasa serta-merta.

Menurut peguam Zulqarnain Lukman, beliau menerima surat daripada universiti memaklumkan bahawa anak guamnya harus melapor diri kepada dekan fakulti undang-undang esok.

pro bari poster uia 241011Peguam itu mengesahkan ia bermaksud Aziz boleh menyambung tugasnya seperti biasa esok.

Bagaimanapun, tambahnya, siasatan terhadapnya masih berjalan kerana universiti perlu masa menimbangkan dengan teliti jawapan kepada surat tunjuk sebab.

Jawapan Aziz dihantar pada jam 2.30 petang ini walaupun tarikh akhirnya esok.

Penamatan penggantungannya dimaklumkan melalui faks empat jam kemudian.

Rampas laptop
Dalam surat tunjuk sebab yang diterima minggu lalu, Aziz didakwa mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti.

pro bari poster uia 241011Zulqarnain percaya bahawa penarikan terhadap Aziz ekoran tekanan daripada kakitangan universiti, mahasiswa, ahli akademik, peguam dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah serta orang awam.

"Saya di pejabat profesor hari ini dan saya lihat poster menyokong anak guam saya di pelbagai tempat di fakulti," katanya kepada Malaysiakini.

Polis hari ini membawa Aziz ke pejabatnya untuk mengambil gambar bilik dan merampas laptopnya.

"Semua ini dilakukan untuk polis melengkapkan siasatan dan menghantar semula kertas siasatan kepada timbalan pendakwaraya Selangor," kata Zulkarnain.

Katanya, komputer itu milik UIA.

Demonstrasi

Siasatan terhadapnya bermula sejurus selepas Senator Mohd Ezam Noor membuat laporan polis terhadapnya dan Malaysiakini atas dakwaan menghina Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah.

Aziz sebelum ini berkata baginda sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

NONESelepas bermulanya siasatan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), pihak universiti mengeluarkan surat tunjuk sebab terhdemadapnya.

Tindakan itu dikritik keras ahli akademik dan mahasiswa yang mendakwa tindakan itu mencabul kebebasan akademik.

Insiden itu merangsang demonstasi ratusan mahasiswa Jumaat lalu.

Mereka juga merancang mengadakan sebuah lagi demonstrasi sempena kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke universiti itu malam esok.

Thursday, October 20, 2011

AHLI AKADEMIK DITEKAN? ~ SHAMSUL ISKANDAR

SHAH ALAM, 20 Oktober : Pelbagai pihak menyatakan bantahan terhadap penggantungan perkhidmatan pakar perlembagaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ekoran kenyataannya berkenaan titah Sultan Selangor baharu-baharu ini.
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) melalui Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, penggantungan itu jelas mencalarkan imej UIAM selaku ‘Taman Ilmu dan Budi’, apabila seorang pensyarah yang berhujah melalui fakta dan kepakarannya, ditekan dengan tindakan seumpama itu.
“AMK tidak berniat untuk campur tangan di dalam pentadbiran UIAM. Sebaliknya, yang dipertikaikan ialah kenapa wujud kekangan ke atas kebebasan akademik, atau secara asasnya kebebasan berfikir di kalangan pensyarah yang bertanggungjawab mendidik mahasiswa?,” soal beliau dalam satu kenyataan media.
Sementara itu,Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) menjelaskan, mana-mana negara yang mahukan universiti mereka disanjungi dan dihormati sebagai universiti bertaraf dunia pasti menyokong, menghormati dan melindungi kebebasan akademik.
“Gerak merasa terkilan atas celaan berbentuk peribadi yang telah dikenakan terhadap beliau,” kata setiausaha agungnya, Rosli H Mahat.
Jelasnya, Abdul Aziz adalah seorang yang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau.
“Kebebasan akademik ini telah disaran oleh UNESCO melalui satu dokumen bertajuk Recommedation Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel,” ujarnya lagi.
Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis juga dengan segera perlu menarik balik tindakan mereka mahu menakut-nakutnya pensyarah itu hanya kerana memberikan pandangan mengenai undang-undang.
“Pada masa yang sama, UIA seharusnya menarik balik surat tunjuk sebab yang mengakibatkan persepsi bahawa pihak berkuasa universiti di Malaysia kurang kebebasan dan hanya bertindak sebagai alat kepada parti pemerintah untuk menekan pandangan-pandangan yang berbeza,” kata beliau.
Exco Selangor, Elizabeth Wong berkata tindakan UIAM menggantung pakar perlembagaan terkemuka itu amat mendukacitakan. ”UIAM, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang bertaraf antarabangsa, sepatutnya mempertahankan hak ahli akademik menyuarakan pendapat dan idea,” katanya.
Tambah Elizabeth lagi, universiti tersebut bukan sahaja gagal mempertahankan Dr Aziz apabila beliau diserang oleh ahli politik dan media UMNO, tetapi sebaliknya menggantung beliau.
“Dengan mengambil tindakan ini, UIAM terbukti mementingkan agenda politik UMNO.  ”Transformasi” yang sering dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jelas merupakan janji-janji kosong,” ujarnya.
Dalam pada itu ,kumpulan mahasiswa akan menggerakkan golongan itu secara besar-besaran daripada seluruh kampus di Lembah Klang untuk berdemonstrasi terhadap UIAM yang menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah.
Pengerusi NGO Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Syukri Abd Razab berkata, dijangkakan hampir 1,500 mahasiswa dan anak muda akan hadir bagi “mempertahankan kebebasan akademik”.
“Solidariti Mahasiswa Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Universiti Islam Antarabangsa menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari.
“Tindakan UIA adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana membelakangkan prinsip ‘kebebasan akademik’,” kata Syukri.
Lawyers For Liberty pula menyatakan tindakan UIAM tersebut bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan yang memberi kebebasan untuk bersuara dan menuntut kebebasan akademik dipertahankan.
“Kami menuntut bahawa penggantungan ini  wajar ditarik balik serta-merta manakala menyeru SKMM tidak langkau sempadan bidang kuasa. Kami juga menggesa pihak polis menghentikan serta-merta mengganggu Prof Aziz Bari dengan penyiasatan di bawah zalim Akta Hasutan,” katanya.
Perhimpunan itu dijadual berlangsung di masjid kampus UIA di Gombak selepas solat Jumaat.
Malahan protes ini semakin hebat melalui laman media sosial apabila beberapa laman Facebook dibuka untuk menyatakan bantahan tersebut.
Laman facebook “10,000 mahasiswa menyokong penuh Profesor Dr Abdul Aziz Bari” dan “Kami Bantah Penggantungan Dr. Aziz Bari” mencatat lebih 2,000 selepas beberapa jam laman itu dibuka.

Wednesday, October 19, 2011

KEPUTUSAN PEMILIHAN CALON PRU DISERAH KPD PUCUK PIMPINAN ~ YAAKOB SAPARI

AMPANG PECAH - Jawatankuasa PKR di peringkat akar umbi menyerahkan sepenuhnya keputusan pemilihan calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) kepada pimpinan parti.

Bagaimanapun, Ketua Cabang PKR Kota Anggerik, Yaakob Sapari melahirkan keyakinan, calon yang dipilih kelak bakal memperlihatkan kombinasi pengalaman, muda termasuk calon wanita.
Menurutnya, sesiapa calon yang dipilih parti, keputusan itu pastinya sudah diatur sebagai satu strategi kemenangan terutama di peringkat Pusat.
“Calon pilihan raya adalah hak mutlak pimpinan parti dan tugas kita adalah fokus memastikan Pakatan Rakyat (PR) bertahan di negeri Selangor.
“Sesiapa sahaja yang dihantar oleh pimpinan, saya yakin keputusan itu sudah diatur dengan bijaksana yang penting kita nak menang dan kita nak buat perubahan,” katanya ketika diminta mengulas hasrat PKR mengetengahkan golongan muda sebagai calon PRU 13.
Beliau ditemui pada pelancaran Pertandingan Memancing GP Selangor 2011 Siri 8 di Tasik Taman Millenium, di sini.
Yaakob yang juga Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan berkata, agenda utama PR adalah untuk menawan Putrajaya dan membawa perubahan di Selangor.
Menurutnya, tempoh tiga tahun awal pentadbiran PR tidak cukup untuk memperlihatkan perubahan yang dibawa walaupun telah banyak agenda dilakukan.
“Justeru usaha ke Putrajaya perlu dilakukan dengan penuh strategik, agenda besar kita mahu memperbaiki segala kepincangan.
“Jadi kepada ahli, hormatilah segala keputusan yang dibuat parti, saya pasti pimpinan telah mempertimbangkan soal kombinasi pengalaman, muda dan kita raikan semua termasuk juga wanita,” katanya.
Dalam laporan sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mendedahkan proses penyenaraian calon PRU 13 yang dikatakan bakal menonjolkan kalangan muda dari peringkat akar umbi.
Menurut Azmin, PKR mahu memilih calon yang mampu memberi kemenangan dan yang tidak mengkhianati amanah rakyat yang telah memilihnya.