Thursday, December 16, 2010

TIGA LAGI AHLI PARLIMEN DIGANTUNG HINA DEWAN!

Dewan Rakyat sekali lagi gempar apabila tiga lagi ahli parlimen Pakatan Rakyat diusul untuk digantung selepas didakwa menghina dewan.

Satu usul untuk menggantung tiga wakil rakyat berkenaan atas dakwaan menghina dewan tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini.
Keputusan itu, bagaimanapun didakwa dilakukan tanpa mengemukakan notis tujuh hari.
Ia dibuat Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia pagi tadi selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz membuat usul berkenaan terhadap Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Azmin Ali (PKR-Gombak) dan R Sivarasa (PKR-Subang).
Azmin yang ditemui media di lobi parlimen berkata keputusan Speaker berubah dalam masa satu hari untuk menggantung ahli parlimen Pakatan Rakyat.
"Semalam mereka mahu menggantung ahli parlimen Permatang Pauh dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor). Tapi dalam masa satu hari keputusan diubah di mana saya, Sivarasa dan Karpal Singh akan digantung enam bulan bermula esok.
"Jadi saya mahu tanya Speaker peraturan mana yang digunakan ke atas kami kerana saya tidak diberikan notis," katanya.
Menurut Azmin, berdasarkan Peraturan Mesyuarat 27, dewan perlu memberi notis tujuh hari sebelum tindakan menggantung mana-mana ahli dewan.
"Ini tidak dilakukan kerana nama saya tidak ada di situ semalam.
"Kecuali Speaker setuju dengan usul menteri. Itu yang kita mahu tahu daripada Speaker atas dasar apa beliau setuju dengan menteri," katanya.
Azmin berkata ahli parlimen yang digantung, sekurang-kurangnya dibenarkan untuk merujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk membenarkan beliau mempertahankan diri.
"Beliau (speaker) terus berkata saya telah membuat keputusan. Anda tidak ada hak menentang," katanya.
Azmin, pagi tadi diarahkan keluar dewan sehingga jam 2.30 petang.

No comments:

Post a Comment